Penjara, denda dan lesen digantung ditangkap buat aksi ‘wheelie’

Anggota polis membuat pemeriksaan ke atas motosikal yang disita.
Advertisement

KUCHING, 1 Julai: Padah beraksi ‘wheelie’ menyebabkan seorang remaja berdepan hukuman penjara, denda dan lesen digantung jika disabitkan kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata lelaki berusia 17 tahun itu ditangkap membuat aksi merbahaya itu ketika menunggang motosikal di Jalan Setia Raja-Tabuan Jaya semalam.

Jelasnya, suspek yang tidak menyedari kehadiran polis ketika melakukan aksi tersebut terus ditangkap di bahu jalan raya tersebut dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaatn Trafik IPD Kuching.

Advertisement

Operasi yang diketuai Inspektor Ngang Kalimpot bersama 20 anggota dilakukan dari jam 4 petang hingga 11.50 malam.

“Suspek ditahan dibahu jalan kerana melakukan aksi ‘wheelie’ (mengangkat tayar hadapan) dengan cara tunggangan yang amat merbahaya diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan dendan dari RM5,000 hingga RM15,000 dan dipenjara tidak kurang lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun,” katanya.

Selain itu, sebanyak 13 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai ekzos, ubahsuai struktur peralatan dan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan.

Terdapat juga 50 saman dkkeluarkan dalam operasi tersebut atas pelbagai kesalahan.

Sementara, Ahsmon berkata Balai Polis Tabuan Jaya telah mengeluarkan sebanyak 12 kompaun ke atas seorang wanita dan 16 lelaki kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan berkumpul di tempat awam. — DayakDaily

Advertisement