Penjaja dan perniaga kecil boleh berniaga di kawasan perumahan Miri pada bulan Ramadan

Datuk Lee (tiga dari kiri) bersama Moshidi (paling kiri) danPemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusof(dua dari kiri) semasa lawatan ringkas meninjau pematuhan SOP di Pasar Lutong

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 30 Mac: Pihak berkuasa tempatan di sini membenarkan penjaja dan perniaga kecil menjalankan perniagaan di dalam kawasan perumahan pada bulan Ramadan ini.

Menurut Setiausaha Bandaraya Miri, Morshidi Fredrick, ini bagi membantu golongan berpendapatan kecil yang terjejas kerana pandemik Covid-19.


Bagaimanapun, katanya, setiap penjaja kecil yang ingin berniaga di kawasan perumahan atau kediaman semasa bulan Ramadan ini , perlulah mengikut peraturan standard operasi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan Kementerian Kesihatan.

“Sebelum beroperasi, mereka (penjaja) harus terlebih dahulu memohon permit dari Majlis Bandaraya Miri untuk proses kelulusan,” jelasnya pada hari ini.

Beliau berkata, melalui permit yang dikeluarkan kepada penjaja kecil yang memohon, akan memudahkan pihaknya memantau aktiviti perniagaan mereka semasa bulan Ramadan.

Morshidi ditemui semasa menemani Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin mengadakan lawatan ke Pasar Lutong hari ini.

Lawatan itu bertujuan meninjau pematuhan SOP oleh penjaja kecil dan pengunjung pasar Lutong bagi mengelakan penyebaran wabak Covid-19 di sana.

Hadir sama pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Sementara itu, Lee yang juga menteri bertangungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri berharap kelonggaran itu dapat membantu penjaja dan peniaga kecil di bandar ini memperoleh pendapatan tambahan.

Mengulas lawatan beliau ke Pasar Lutong pagi ini, Lee meluahkan rasa puas hati dengan kepatuhan penjaja dan pengunjung dengan SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. — DayakDaily