Peniaga rugi RM2,056 ditipu skim pinjaman tidak wujud

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 21: Seorang peniaga kerugian RM2,056 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang diiklankan dalam Facebook (FB).

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah ternampak iklan berhubung pinjaman wang yang kononnya melalui UOB Credit Sdn Bhd semasa melayari FB pada Mac 15 lepas.

Advertisement

Menurutnya, mangsa kemudian mengisi satu borang peribadi sebelum dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr Jack.

“Mangsa kemudian bertanya prosedur pinjaman dengan suspek kerana ingin membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

“Suspek kemudian meminta mangsa menghantar dokumen diri menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa permohonan pinjamannya telah diluluskan.

Bagaimanapun katanya, suspek dikehendaki membayar wang sebanyak RM2,056 sebagai pembayaran insuran dan pelepasan cukai.

“Mangsa seterusnya memindahkan wang menerusi tiga kali transaksi ke dalam dua akaun berbeza pada Mac 19 lepas.

“Selepas pembayaran dibuat, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM1,200 untuk tujuan pelepasan cukai,” katanya.

Tambah Mustafa, mangsa yang curiga dengan perkara tersebut kemudian membuat semakan di bank sebelum dimaklumkan dia telah ditipu.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement