Oleh Dean Adam
KUCHING, Mac 18: Seorang peniaga rugi RM11,000 selepas ditipu sindiket pinjaman tidak wujud.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pada Mac 5 lalu, mangsa telah menerima mesej dari aplikasi BBAZAAR.MY yang menawarkan pinjaman wang kepada mangsa.
Katanya, mangsa kemudian berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM150,000.
“Suspek seterusnya memberitahu mangsa perlu membuat pembayaran yuran memproses pinjaman wang sebanyak RM5,000 dan bayaran ansuran dua bulanan iaitu berjumlah RM6,000.
“Jumlah yang perlu dibayar oleh mangsa adalah sebanyak RM11,000,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa menambah, mangsa kemudian membuat tiga kali transaksi pembayaran melalui pemindahan atas talian ke akaun bank suspek.
Namun katanya, selepas membuat pembayaran sebanyak RM11,000, mangsa masih belum menerima duit pinjaman RM150,000.
“Mangsa mulai sedar ditipu setelah menyemak dalam portal kes komersial ccid.rmp.gov.my di mana nombor akaun bank suspek telah terlibat dengan kes penipuan,” katanya. — DayakDaily