Oleh Dean Adam
MIRI, Okt 24: Seorang peniaga wanita rugi RM15,420 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’ antara Sept 23 hingga Okt 15 lepas.
Bagaimanapun, kejadian tersebut hanya dilaporkan semalam oleh mangsa yang berusia 49 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, pada Sept 23 lepas, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dari nombor 0162991781 dan 01151755657.
Katanya, suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mengatakan barangan yang dikirim kepada mangsa mengandungi barang terlarang iaitu vaksin kesihatan tamat tempoh.
“Mangsa seterusnya selalu menerima panggilan dari nombor tersebut sejak awal Oktober dan setiap kali menerima panggilan tersebut.
“Pegawai kastam berkenaan kemudian memberitahu mangsa membuat pelbagai kesalahan tentang penghantaran barang dan dikehendaki menyelesaikan kesalahan tersebut dengan membayar denda,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, pegawai kastam tersebut seterusnya memberitahu jika hendak menutup kesalahan berkenaan penghantaran barang tersebut mangsa dikehendaki membayar wang sebanyak RM15,420 ke akaun Public Bank atas nama Fauziah Mohamad Fauzi dan Asiah Dol.
Katanya, mangsa yang panik kemudian melakukan pembayaran ke dalam akaun suspek.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily