Peniaga disyaki cabul kanak-kanak perempuan dicekup

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

SARATOK, Ogos 30: Perbuatan terkutuk seorang lelaki warga emas yang disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun terbalas apabila dia ditahan polis, semalam.

Peniaga berusia 67 tahun itu dicekup susulan laporan polis yang diterima selepas mangsa yang ditemani keluarganya membuat laporan di Balai Polis Saratok.

Ketua Polis Daerah Saratok, Dsp Mordani Tanin berkata, berdasar laporan diterima, sebelum kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari masjid kira-kira pukul 8 malam.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, suspek kemudian secara tiba-tiba menarik mangsa dan mendukungnya ke kediamannya.

“Sebaik tiba di rumah, suspek dipercayai cuba merogol mangsa, namun kanak-kanak itu berjaya melarikan diri.

“Bimbang keselamatan diri tidak terjamin, mangsa kemudian mendedahkan insiden berkenaan kepada bapanya sebelum mereka membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mordani memberitahu, sepasukan anggota polis kemudian melakukan tangkapan ke atas suspek.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku meraba dan mencabul mangsa.

“Kes ini disiasat mengikut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement