JKM cari ibu kandung kepada Muhammad Amsyar Izhar

Jabatan Kebajikan Masyarakat

KUCHING, Ogos 30: Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching (PKMB) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada kanak-kanak bernama Muhammad Amsyar Izhar berusia 1 tahun 4 bulan yang bernama Nuratiesya Mohd Affendi.

Menurut kenyataan yang diterima dari PKMB Kuching, kanak-kanak tersebut dijaga oleh Libar Mostapa sejak kanak-kanak berusia 4 bulan.

Kata PKMB, kanak-kanak tersebut merupakan anak kepada Roy Tarmimi Libar iaitu anak kepada Libar Mostapa dan Nuratisya Effendi.


“Kes kanak-kanak ini dirujuk oleh penjaga kerana dikatakan kanak-kanak belum mempunyai dokumen diri dan diabaikan oleh ibu kandung kanak-kanak tersebut.

“Sehubungan itu, kanak-kanak ini didapati memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-kanak 2001,” kata PKMB di sini hari ini.

Tambah PKMB, pelindung dari PKMB Kuching telah mengemukakan kanak-kanak tersebut ke hadapan Majistret Mahkamah Kanak-kanak (MBKK) Kuching untuk mendapatkan perintah jagaan sementara.

Jelas PKMB, MBKK yang bersidang pada Ogos 9 lalu telah mengeluarkan perintah agar kanak-kanak itu dijaga di bawah jagaan sementara oleh orang yang layak dan sesuai iaitu Libar Mostapa sehingga pihak PKMB Kuching dapat menyediakan satu laporan pelindung berkaitan kanak-kanak.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali ibu kandung dan waris Nuratiesya Affendi diminta menghubungi Suliana Jeryin di talian 082-507111/507999 atau 017-8094656 dengan kadar segera,” ujarnya. — DayakDaily