Peniaga di Sarawak patuhi Skim Harga Maksima Musim Perayaan, kata Chong

Chong (kanan) membantu mengisi petrol dalam sebuah motosikal semasa program sumbangan isian petrol percuma di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 4: Tiada laporan peniaga menjual barangan melebihi harga maksima yang ditetapkan dalam perlaksanaan Skim Harga Maksima Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Sarawak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Chong Chieng Jen berkata sejak perlaksanaan 21 Mei lepas, tiada laporan dari pengguna yang peniaga melanggar penetapan SHMPP.


“Namun demikian, pegawai-pegawai kementerian akan terus memantau harga barangan di pasaraya termasuk di pasar basah.

“Setakat ini kita gembira kerana peniaga-peniaga telah mematuhi penetapan harga ini dan ada juga yang menjual barangan dengan harga yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program sumbangan isian minyak motosikal percuma di Stesen Servis Petronas Batu 8, Jalan Penrissen di sini, hari ini.

Skim ini berkuat kuasa dari Mei 21 hingga Jun 19 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang telah mengenal pasti sebanyak 27 jenis barangan untuk Aidilfitri 2019.

Mengulas mengenai sumbangan isian petrol percuma itu, Chong berkata ianya diadakan bersempena dengan perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya.

Menurut beliau, isian percuma bernilai RM5 diberikan kepada 500 penunggang pertama dan sebelum ini program itu telah diadakan di dua lokasi Stesen Petronas di Kuching iaitu pada Mei 26 dan 30 bermula jam 2 petang hingga 4 petang.

“Sumbangan isian petrol percuma ini diharap dapat meringankan beban dan menambah keceriaan para penunggang motosikal yang kebanyakkan golongan B40,” kata Chong. — DayakDaily