Peniaga berputih mata akibat terpedaya ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Mac 31: Seorang peniaga berputih mata selepas kerugian RM19,999.74 akibat ditipu ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada suspek sindiket penipuan tersebut pada Mac 27 lepas.


Katanya, suspek kemudian memberitahu terdapat kad kredit didaftarkan atas nama mangsa yang berusia 51 tahun itu.

“Suspek menyatakan kad kredit atas nama mangsa telah digunakan sebanyak RM6,000 di Semenanjung Malaysia.

“Mangsa kemudian menafikan dengan mengatakan dirinya tidak pernah ke Semenanjung Malaysia,” katanya semalam.

Mustafa Kamal menambah, bagi menyelesaikan kes itu mangsa diarahkan untuk memindahkan wang ke dalam akaun suspek kononnya untuk tujuan siasatan.

Katanya, suspek seterusnya memberitahu akan memindahkan semula wang tersebut pada Mac 28 lepas.

“Mangsa akhirnya sedar bahawa dirinya ditipu selepas suspek gagal memulangkan wang.

“Buat masa ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily