Pengutip bola golf ditemui mati di padang golf

Keadaan mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Jan 31: Seorang pengutip bola golf ditemui mati selepas disyaki mengalami serangan jantung di Samarahan Country Club berhampiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Joseph, 47, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Sumber berkata, lelaki berkenaan dikatakan sering ke padang golf di situ untuk mencari dan mengutip bola golf yang hilang.

Advertisement

Kata sumber, biasanya mangsa akan menjual bola golf yang ditemui kepada mana-mana pemain golf yang berminat.

“Namun, malang menimpa lelaki itu apabila dia dikatakan tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden tersebut.

Jelasnya, kematian mangsa bukannya akibat dipatuk seekor ular tedung seperti yang ditularkan dalam media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Ketika ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement