Pengusaha gerai, premis makanan diingatkan supaya tidak menyewakan lesen perniagaan

Chan (duduk kanan) dan Mohd Taufik (duduk kiri) bersama penganjur acara Padungan Food Safari selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBKS, di Bangunan MBKS, Jalan Padungan, Kuching.

KUCHING Sept 26: Pengusaha gerai dan premis makanan dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di bandaraya ini diingatkan supaya tidak terlibat dengan perbuatan menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato James Chan Khay Syn memberikan peringatan bahawa lesen perniagaan yang dikeluarkan MBKS hanya bagi kegunaan warga tempatan berniaga makanan dan tidak dibenarkan disewakan kepada warga asing.

“Jadi, kami akan bertindak serta-merta membatalkan lesen itu, sekiranya didapati pemiliknya menyewakannya kepada warga asing, ini termasuk lesen kedai kopi kerana (warga asing) tidak dibenarkan (menyewanya) dibawah peraturan pemberian lesen terbabit,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBKS, di Bangunan MBKS, Jalan Padungan, di sini, semalam.


Chan berkata setakat ini bahagian perlesenan MBKS belum ada lagi mengesan atau menerima aduan tentang perbuatan menyewakan lesen perniagaan terbabit kepada warga asing seperti yang ada berlaku dan kini menjadi isu di semenanjung.

“Warga asing tidak dibenarkan berniaga dan hanya boleh memohon permit bekerja di negeri ini. Tetapi setakat ini saya fikir masalah terbabit tidak berlaku di kawasan MBKS dan kita mempunyai kakitangan setiap hari mengawasi kawasan pasar di sini,” katanya.

Disamping itu, Chan berkata kakitangan MBKS juga sentiasa turut serta dalam operasi Jabatan Imigresen atau Jabatan Buruh bagi mengesan warga asing bekerja secara haram di premis perniagaan sekitar bandaraya ini dan setakat ini belum mengesan ada warga asing yang menyewa lesen itu.

Selain itu, beliau mempelawa orang ramai untuk mengunjung premis menjual makanan yang ada di sepanjang Jalan Padungan di sini sempena acara Padungan Food Safari dari Sept 29 ini sehingga Okt 28 depan.

Sebanyak 60 premis makanan di Jalan Padungan akan menyertai acara terbabit dengan orang ramai yang mengutip sebanyak 20 ‘stamp’ atau cop pada paspot acara itu boleh menuntut hadiah beg barangan What About Kuching (WAK) 2018 samada di Meritin Hotel atau Batik Boutique Hotel.

Sementara itu, selepas mesyuarat terbabit Pengerusi Alam Sekitar dan Pelancongan MBKS, Kaunselor Mohd Taufik Abdul Ghani mengumumkan MBKS akan melancarkan kempen tiada beg plastik setiap hujung minggu di kawasannya semasa sambutan Hari Alam Sekitar pihak berkuasa tempatan itu pada November depan.

“Ini supaya orang ramai yang membeli belah di pasaraya dalam kawasan MBKS di bandaraya ini tidak diberikan kalangan peniaga dengan beg plastik bagi membawa barang dan perlu membawa beg kitar semula,” katanya.

Selain itu plastik penyedut minuman atau ‘straw’ tidak akan diharamkan pengunaannya dalam kawasan MBKS dalam masa terdekat kerana pihaknya mahu mendidik orang ramai berhenti secara sukarela mengunakannya bagi menjaga alam sekitar. — DayakDaily