Pengurus rugi RM140,000, tertipu skim pelaburan tidak wujud di Bintulu

Dato Mancha Ata
Advertisement

BINTULU, 8 April: Seorang pengurus di sebuah syarikat swasta di sini mengalami kerugian RM140,000 selepas menjadi mangsa kes penipuan pelaburan tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata mangsa,30an pada 25 Mac lalu telah tertarik dengan satu skim pelaburan emas yang diperkenalkan seorang lelaki di laman instagram.

Katanya, lelaki yang dikenali sebagai Gao Yun Ze kemudian memberikan satu link (pautan internet) kepada mangsa untuk dia mendaftarkan diri dan memulakan pelaburan.

Advertisement

“Seterusnya mangsa diterangkan oleh suspek mengenai pelaburan tersebut serta mangsa dijanjikan keuntungan sebanyak RM102,000 dalam tempoh hari yang sama.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah melakukan 10 transaksi pembayaran bagi tujuan pelaburan yang keseluruhannya berjumlah RM140,000 melalui pemindahan wang ke tiga akaun berbeza dari hujung Mac hingga awal April,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa sedar dirinya ditipu apabila masih belum menerima sebarang pembayaran.

“Sebarang keuntungan dan modal pelaburan seperti dijanjikan belum diterima.

“Jumlah kerugian mangsa adalah lebih kurang RM140,000,” katanya.

Laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan. — DayakDaily

Advertisement