Oleh Dean Adam
KUCHING, April 8: Seorang pengurus pentadbiran wanita kerugian RM329,400 apabila terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki kononnya dari Jabatan Kastam pada Mac 27 lepas.
Katanya, suspek kemudian mengatakan suspek berhutang dengan pihak Kastam dengan tidak membayar GST sebanyak RM51,076 dari tarikh Jun 12, 2017 hingga Januari 2018.
“Mangsa kemudian menafikan perkara tersebut kerana tidak pernah mendaftar atau mempunyai apa-apa syarikat di Pulau Pinang.
“Suspek juga dikatakan terlibat dalam sindiket dadah dan penggubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.
Mustafa Kamal menambah, mangsa sekali lagi menafikan dakwaan itu sebelum suspek memberitahu dia boleh membantu menyelesaikan kes berkenaan.
Katanya, suspek kemudian meminta mangsa mengeluarkan wang dalam akaunnya dan memindahkan wang tersebut ke akaun yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa yang panik kemudian melakukan 31 transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun berbeza.
“Jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan adalah sebanyak RM329,400,” katanya.
Sambil menambah, selepas membuat pemindahan wang itu, suspek telah gagal dihubungi.
“Mangsa akhirnya sedar bahawa dirinya telah ditipu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily