This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 21 Sept: Seorang pengurus sebuah syarikat hartanah mengalami kerugian sebanyak RM150,000 selepas diperdaya menyertai pelaburan dalam talian ‘USD Currency’.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa berusia lingkungan 20an telah berkenalan dengan suspek iaitu lelaki dikenali sebagai Lim Cheng Fan melalui Facebook pada awal September lalu.
Katanya suspek mengajak mangsa menyertai pelaburan ‘USD Currency’ dengan pulangan yang lumayan.
“Mangsa kemudian melakukan sembilan transaksi pemindahan wang berjumlah RM150,000 ke tiga akaun bank milik suspek pada pertengahan September lalu sebagai wang pelaburan ‘USD Currency’.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah suspek memberikan pelbagai alasan apabila mangsa menanyakan keuntungan pelaburan yang dibuatnya, sebelum suspek gagal dihubungi selepas itu,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 19 Sept lalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — DayakDaily