Pengurus dan pembantu tadbir berjaya elak jadi mangsa terbaharu ‘Macau scam’

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 6: Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat ‘Macau scam’ berjaya mengelakkan seorang pengurus syarikat dan pembantu tadbir di sini daripada mengalami kerugian akibat ditipu sindiket penipuan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kedua-dua laporan itu diterima semalam oleh dua lelaki yang berusia 25 dan 39 tahun.

Katanya, berdasarkan laporan pengurus syarikat itu, dia telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri dengan nama Stanley Toh Abdullah kononnnya dari Kastam Pulau Pinang.

“Suspek kemudian memberitahu pengadu ada membuka Syarikat Sin Seng Trading Sdn Bhd di Pulau Pinang dan ada tunggakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM51,076.

“Bagaimanapun, pengadu telah menafikan bahawa dia tidak pernah membuka mana-mana syarikat sebelum dia pergi ke pejabat Kastam Miri dan pejabat SSM Miri untuk membuat semakan.

“Hasil semakan mendapati nama pengadu tiada dalam rekod bagi permohonan membuka mana-mana syarikat seperti didakwa suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sementara itu kata Mustafa, pembantu tadbir terbabit juga telah menafikan ada memiliki saman tertunggak yang didaftarkan atas namanya.

Ujarnya, meskipun suspek cuba memperdayakan pengadu, dia tetap menafikan terlibat dalam sebarang kes jenayah sebelum memutuskan perbualan mereka.

“Justeru, saya berharap masyarakat umum juga agar tidak sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” ujarnya. — DayakDaily