MARUDI, 26 April: Seramai empat lelaki, termasuk dua warga asing diterbangkan ke Miri selepas terjatuh dalam insiden runtuhan jambatan di sebuah resort di Mulu hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi terus ke lokasi kejadian untuk menyelamat kesemua mangsa.
“Tiba di lokasi, didapati empat mangsa telah terlibat dengan insiden jambatan runtuh tersebut, tiga mangsa telah dibawa naik ke atas dan dihantar ke Lapangan Terbang Mulu.
“Manakala seorang lagi mangsa dari German yang juga merupakan pengurus resort dipindahkan menggunakan pengusung oleh bomba kerana dia mengalami kecederaan di pinggang dan kaki.
“Keempat-empat mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pihak KKM Mulu sebelum mereka diterbangkan ke Miri menggunakan helikopter Samling,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang lagi mangsa yang merupakan Pengurus Besar resort berkenaan dikatakan berasal dari Belgium dan dua lagi mangsa belum diketahui identitinya.
Semasa kejadian, keempat-empat mangsa semasa kejadian dikatakan membuat pemeriksaan tapak.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6 petang. — DayakDaily