Pengundi Puncak Borneo digesa beri kepercayaan kepada calon BN

Miro (kiri) mengiringi Jeannoth (tengah) di Kampung Kopit.

BAU, Mei 2: Masyarakat setempat di kawasan Parlimen Puncak Borneo perlu memberi kepercayaan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk mewakili suara mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, rakyat akar umbi harus menterjemahkan sokongan penuh mereka kepada bentuk undi untuk calon muka baharu BN di Parlimen Puncak Borneo, Genot@Jeannoth Sinel dalam PRU14 kelak.

Menurutnya, rakyat setempat perlu ingat bahawa hanya kerajaan BN yang mampu membawa pembangunan secara berterusan dan mentadbir kawasan Parlimen tersebut dengan cemerlang.


“Kerajaan BN juga tidak pernah mengabaikan kebajikan masyarakat akar umbi di Parlimen Puncak Borneo selama ini.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pengundi di Parlimen Puncak Borneo supaya sedar bahawa pembangkang tiada mempunyai keupayaan untuk mentadbir kawasan tersebut,” katanya semasa berucap pada Majlis Gawai Makan Nasi Baru di Dewan Masyarakat Kampung Kopit di sini.

Turut hadir ialah calon BN bagi Parlimen Puncak Borneo, Jeannoth.

Miro yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Serembu menambah, masyarakat akar umbi perlu membuka mata kepada pakatan pembangkang yang dilihat lebih pandai bercakap daripada bekerja untuk rakyat.

Beliau juga mengharapkan pengundi atas pagar di kawasan Serembu amnya untuk membuat keputusan yang baik dengan memberi sokongan kepada calon BN.

“Jadi, berilah peluang kepada Jeannoth untuk berkhidmat serta berbakti kepada rakyat di Parlimen Puncak Borneo.

“Kita yakin dengan kemampuan dan kredebiliti yang ada pada dirinya (Jeannoth), beliau mampu membawa lebih banyak pembangunan secara berterusan di khususnya di kawasan Serembu,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, Miro turut menyerahkan geran sebanyak RM5,000 kepada pihak Kemas Kampung Kopit. — DayakDaily