Penguang: Kerajaan negeri pimpinan GPS sentiasa berusaha bawa pembangunan di luar bandar

Penguang (kiri) menyerahkan geran MRP kepada salah seorang tuai rumah.

Oleh Dean Adam

BAKONG, Dis 6: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan luar bandar setara dengan apa yang dinikmati di bandar ketika ini.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, kerajaan GPS tanpa mengira masa akan membawa pembangunan di kawasan luar bandar sekali gus memberi impak positif kepada rakyat setempat.


Jelas beliau, ia adalah bagi memastikan kesejahteraan serta taraf hidup masyarakat luar bandar terus terbela.

“Masyarakat luar bandar khususnya di konstituensi Marudi harus berpegang teguh kepada motto mereka iaitu “berserakup mai pemansang” serta peka dengan perkembangan politik semasa.

“Sehubungan itu, bagi memastikan impian ini tercapai, semua masyarakat luar bandar harus mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin,” katanya semasa Program Bersama Rakyat di Rumah Panjang Engkas, Sg Mallang Sanin di sini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi tersebut menambah, kerajaan GPS juga sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melibatkan kawasan luar bandar.

Katanya, usaha seumpamanya penting dalam usaha melahirkan lebih ramai generasi muda yang berilmu dan berkemahiran pada masa depan.

“Menerusi pelaburan dalam bidang pendidikan, masyarakat luar bandar khususnya mampu keluar dari kepompong kemiskinan,” ujarnya lagi.

Dalam majlis sama, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan turut melakukan demonstrasi pemadaman kebakaran serta penyerahan borang-borang permohonan keahlian Parti Demokratik Progresif (PDP)

Turut hadir sama ialah Setiausaha-setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Alexander Asing dan Robert Ayu.

Pada majlis tersebut, Penguang juga menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada JKKK Rh Engkas (RM15,000), Biro Wanitanya (RM5,000), PIBG SK Lepong Ajai (RM10,000), JKKK Rh Kalum (RM3,000), Biro Wanita Rh Nyegang (RM5,000) dan JKKK Rh Christopher (RM10,000). — DayakDaily