Penguang: Bina jalan penghubung Marudi-Mulu, tingkatkan industri pelancongan di Taman Negara Mulu

Penguang (depan, lima dari kanan) merakamkan kenangan bersama sebahagian peserta Program Kesedaran Alam Sekitar Bahagian Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Okt 23: Industri pelancongan di Taman Negara Gunung Mulu bakal terjejas teruk jika tambang penerbangan MASwings khusus untuk pelancong luar ke destinasi tersebut dinaikkan.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil berkata ia akan menambah kesulitan berhubung masalah pengangkutan yang dihadapi pada masa ini.

Advertisement

“Ini di antara sebab saya menggesa pembinaan jalan menghubungkan Marudi ke Mulu untuk mempastikan industi pelancongan tidak terjejas di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai Program Kesedaran Alam Sekitar Bahagian Kuching di Dewan Yayasan Sarawak hari ini.

Berhubung isu yang sama, Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin pada satu sidang media di Kuching hari ini memaklumkan keputusan tersebut telah ditarik balik.

Katanya, jaminan tersebut dimaklumkan CEO MASwings Aminuddin Zakaria kepada beliau semalam menerusi sistem pesanan ringkas.

Menurut Lee, MASwings akan mengeluarkan kenyataan untuk menarik balik keputusan tersebut pada Jumaat ini.

Mengulas lanjut berhubung pembinaan jalan menghubungkan Marudi ke Mulu, Penguang berkata fasa pertama yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 8km dari ke Puyut ke Long Linai dengan kos RM43 juta sedang dilaksanakan.

“Dari Long Linai, jalan tersebut akan dihubungkan ke Long Terawan dan pada masa depan mungkin akan dihubungkan ke Long Melinau.

“Kita tidak merancang untuk membina jalan terus ke Taman Negara Mulu kerana ia satu-satunya Tapak Warisan Dunia yang dimiliki Sarawak dan kita harus memeliharanya,” ujar Penguang. — DayakDaily

Advertisement