Pengoperasian PPV Universiti Curtin Miri berjalan lancar

Kelihatan Lee ketika mengadakan tinjauan ke PPV Universiti Curtin Miri. Foto: Ukas

KUCHING, 21 Jun: Proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Curtin Miri yang dibuka semalam berjalan dengan lancar.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pusat tersebut ditubuhkan bagi menggantikan PPV Dewan Dato Permaisuri.

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, penggantian ini telah mengambil kira dari segi faktor ruang tempat letak kereta yang luas.

Katanya, ini termasuk memiliki ruang menunggu yang mampu menampung kapasiti vaksinasi 1,500 sehingga 2,000 dos sehari.

“Buat permulaan, PPV Dewan Universiti Curtin ini berupaya untuk menampung kapasiti 1,500 dos sehari dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan dari Isnin hingga Ahad,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV Curtin Universiti untuk meninjau suasana dan keadaan Program Vaksinasi Covid-19 semalam.

Tambah Lee, pemindahan ke PPV Universiti Curtin hanya mengambil masa singkat iaitu kurang daripada 24 jam dan ini membolehkan pusat tersebut untuk menampung 1,500 penerima vaksin.

Beliau berpuas hati dengan pengaturan dan aliran pengoperasian di pusat tersebut yang berjalan dengan lancar dan mengikut prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan sekali lagi mengingatkan orang ramai yang mendapat temu janji vaksin perlu hadir 15 hingga 30 minit lebih awal daripada masa temu janji.

“Bagi orang yang telah menerima notis janji temu, (mereka) hanya perlu hadir 15 hingga 30 minit sebelum masa yang ditetapkan untuk janji temu dan mereka yang tidak menerima notis janji temu jangan pergi secara peribadi (secara ‘walk-in’),” ujarnya.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting. — DayakDaily