Penghuni rumah panjang tidak akan dipaksa untuk menubuhkan MPKK: Ali Biju

Ali Biju (kiri) menerima cenderahati dari Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kejuruteraan TV RTM Sarawak, Norjihan Yahya (dua dari kiri) ketika menjadi tetamu kehormat Majlis RTM Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching, Jalan P. Ramlee, hari ini.
Advertisement

KUCHING, 12 Jan: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan memaksa penghuni rumah panjang di Sarawak untuk menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Dasar Rumah Panjang Negara (JDRPN) dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju berkata demikian dan menjelaskan penubuhannya adalah secara sukarela di kalangan penghuni rumah panjang di negeri ini.

“MPKK ini bukan paksaan ia adalah secara sukarela dan tujuannya untuk menolong orang rumah panjang dari segi sosio ekonomi. Keperluan penubuhannya atau penerimaanya tertakluk kepada rumah panjang atau kampung berkenaan,” katanya ketika sidang media di Auditorium Kecil, RTM Kuching, hari ini.

Advertisement

Ali, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, berkata demikian mengulas tentang adanya kalangan penduduk luar bandar negeri ini menyatakan keengganan mereka menubuhkan majlis terbabit yang di bawah kerajaan PH.

“Tapi saya rasa selepas mereka (penghuni rumah panjang lain) melihat kebaikkan di bawah MPKK ini, saya rasa semua akan menerimanya,” katanya dan mendedahkan ketika ini sudah sebanyak 3,000 permohonan menubuhkan MPKK dari rumah panjang dan kampung di Sarawak diterima oleh pihaknya.

Beliau berkata jumlah terbabit sudah lebih separuh dari 5,900 rumah panjang dan kampung yang ada di Sarawak yang layak membentuk MPKK dengan peringkat pertama penubuhan majlis itu dijangka akan dirasmikan Mac depan.

“MPKK ini ada struktur dan akaun bank sendiri, jadi bantuan-bantuan untuk ke kampung dan rumah panjang yang ada MPKK ini akan disalurkan (kerajaan pusat) kepada MPKK itu sendiri,” katanya.

Katanya bagi kawasan yang tidak ada menubuhkan MPKK tetapi ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kerajaan pusat juga akan menggunakan JKKK terbabit bagi menyalurkan bantuan.

“MPKK ini digunakan kerajaan persekutuan untuk menyalurkan bantuan ke peringkat akar umbi. Sebab rakyat selama ini kadang-kadang mereka merasa tidak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan tidak buat apa-apa untuk rakyat peringkat akar umbi,” katanya.

Katanya dengan ada penubuhan MPKK diharapkan rakyat peringkat akar umbi akan sedar yang kerajaan persekutuan prihatin terhadap mereka dan tafsiran MPKK bercanggah dengan penubuhan JKKK atau MPKK bertujuan politik adalah tidak betul.

“Banyak MPKK ini di rumah panjang ataupun kampung yang mereka dibuat, ahli JKKK dan MPKK ini adalah orang yang sama,”katanya dan ini menyangkal tuduhan MPKK bertujuan memecah belahkan penghuni rumah panjang dan penduduk kampung. —DayakDaily

Advertisement