Oleh Dean Adam
BINTULU, Ogos 28: Penghuni yang menetap di Bangunan CIMB lama/Bangunan BDA panik selepas sebuah bilik kosong di tingkat satu di situ musnah terbakar tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu mengakibatkan penghuni berdekatan panik kerana bimbang api merebak ke kediaman mereka.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Helman Main berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.40 tengah malam.
Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sebuah jentera bersama lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira tiga minit kemudian, api sudah marak kira-kira 70 peratus di tingkat atas dan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke bilik bersebelahan,” katanya di sini hari ini.
Helman menambah, kejadian tersebut tidak membabitkan kehilangan jiwa.
“Punca kebakaran masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily