‘Penghidu gam’ cetus cemas, bakar sampah di belakang bangunan kedai

Anggota bomba melakukan pemantauan di kawasan kejadian.
Advertisement

BINTULU, April 13: Tindakan seorang lelaki dipercayai ‘penghidu gam’ membakar longgokan sampah di belakang sebuah bangunan kedai di Jalan Main Bazaar di sini membuatkan orang awam di situ gempar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu disedari oleh para pekerja di kedai berkenaan sebelum mereka menghubungi pihak bomba.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mustapha Wasli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.14 pagi.

Advertisement
Kelihatan seorang lelaki dipercayai ‘si penghidu gam’ ditahan.

Katanya, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja susulan.

“Apabila tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, pasukan bomba mendapati api telah dipadamkan oleh orang awam.

“Anggota bomba kemudian melakukan pemantauan di sekitar tempat kejadian bagi memastikan tiada berlakunya kebakaran berulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, lelaki ‘penghidu gam’ berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut. — DayakDaily

Advertisement