Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, Apr 16: Usaha memupuk budaya sihat dalam kalangan belia semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) melalui penganjuran Pertandingan Wai Kru Remaja dan Muay Boran Remaja Tertutup Sarawak 2020 secara atas talian.
Penyertaan adalah percuma dan telah dibuka bermula dari 15 hingga 25 April ini kepada semua ahli naungan dan persatuan gabungan PMNS.
Menurut Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim, objektif penganjuran pertandingan tersebut sebagai pengisian masa lapang terutama golongan belia.
Pada masa sama, PMNS juga mahu memupuk budaya sihat secara bersukan selain menjadi wadah untuk mengukuhkan hubungan sesama keluarga.
“Aktiviti ini bertujuan untuk menggalakkan anak-anak muay di Sarawak berkarya mengikut kreativiti masing-masing di mana ia dilaksanakan secara dalam talian.
“Selain memberi nafas baru kepada penggiat sukan muaythai penganjuran pertandingan ini juga akan membantu menarik minat orang ramai khususnya golongan belia untuk menceburi sukan ini,” katanya hari ini.
Penyertaan terbahagi kepada empat kategori iaitu Solo Wai Kru Remaja Lelaki, Solo Wai Kru Remaja Perempuan, Muay Boran Remaja Lelaki dan Muay Boran Remaja Perempuan.
Kategori Solo Wai Kru merupakan persembahan di mana penyertaan adalah secara individu manakala kategori Muay Boran (tempur) adalah berpasangan dengan terbuka kepada pasangan adik beradik.
Menurut Jumaat, setiap penyertaan perlu disertakan borang yang telah diemel kepada setiap persatuan bahagian.
Peserta hanya perlu menghantar satu video sahaja mengikut kategori masing-masing dengan video mestilah menggunakan format mp4 diambil dari telefon bimbit berdefinisi tinggi 720p-1080p.
Menurutnya, masa diperuntukkan bagi kategori Wai Kru ialah seminit 30 saat hingga dua minit manakala bagi kategori Muay Boran tiga hingga lima minit.
“Pemarkahan adalah berdasarkan kepada kekayaan teknik, kemahiran gerak dan kelancaran teknik, aspek logik (teknik logik) kreativiti persembahan, pengisian komponen wai kru, kemantapan, penghayatan persembahan, keberanian dan kemahiran, tenaga dan stamina, keserasian irama dan gerak dan kesesuaian pakaian.
“Setiap penyertaan hanya perlu menghantar satu video sahaja dari peserta individu atau kumpulan mengikut kategori masing-masing,” kata Jumaat lagi.
Penyertaan boleh dihantar ke sarawakmuaythai@gmail.com dengan tarikh tutup pada 25 April 2020.
Hadiah wang tunai menanti pemenang tempat pertama hingga keempat untuk empat kategori tersebut.—DayakDaily