Penggerak Komuniti Negara Wilayah Sarawak bakal tubuh 15 Jawatankuasa Parlimen

Leslley Kalom

KUCHING, 26 MEI: Penggerak Komuniti Negara (PKN) Wilayah Sarawak bakal menubuhkan sebanyak 15 Jawatankuasa Parlimen lagi sebagai tambahan kepada 16 jawatankuasa sedia ada.

Ketua Penerangannya, Leslley Kalom berkata, fokus utama PKN sebagai sebuah NGO adalah bagi membangunkan aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan pengukuhan jati diri yang padu dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia selaras dengan Dasar Komuniti Negara yang telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada 17 Februari 2019.


“Matlamat dan fokus asal PKN dari awal adalah untuk membantu golongan yang kurang berpendapatan seperti golongan B40, miskin bandar dan juga kumpulan sasar yang termaktub di dalam Dasar Komuniti Negara.

“Seperti negeri-negeri lain juga, kita di Sarawak tidak ketinggalan dan setakat ini kita telah berjaya menubuhkan 16 Jawatankuasa Parlimen PKN,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Enam belas jawatankuasa tersebut ialah Petra Jaya, Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Stampin, Miri, Lubok Antu, Bintulu, Tanjong Manis, Kapit, Sarikei, Betong, Puncak Borneo, Saratok, Sibu dan Igan.

Di seluruh negara tambah Leslley lagi, sebanyak 198 Jawatankuasa Parlimen PKN telah ditubuhkan dan ianya berdasarkan kawasan Parlimen dengan keahlian PKN setakat ini hampir mencecah 300,000 ahli.—DayakDaily

Senarai ahli Jawatankuasa PKN Wilayah Sarawak