Penggangur disyaki edar dadah dicekup polis di pasar malam

Suspek (tengah) direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Advertisement

SERIAN, Okt 5: Seorang penganggur dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di Pasar Malam Melayu di sini malam tadi.

Suspek, lelaki berusia 38 tahun dari Selangor, telah ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

Ketua Polis Daerah Serian, Dsp Aswandy Anis berkata hasil pemeriksan ke atas beg milik suspek, polis telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Advertisement

Susulan itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di rumah suspek di Taman Pasir di sini dan menjumpai satu bekas tin yang mengandungi 10 paket plastik lutsinar yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

Kelihatan dadah yang dirampas dari suspek.

“Pemeriksaan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek kemudiannya mendapati dia positif dadah jenis amphethamine dan methamphetamine,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, anggaran keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah seberat 11.65 gram.

Katanya, nilai anggaran dadah tersebut di pasaran adalah berjumlah RM900.

“Suspek berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan selanjutnya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan, jika disabitkan bersalah,” katanya. — DayakDaily

Advertisement