Pengecualian urusniaga pembaharuan LKM Persendirian sehingga 31 Mac ini

Poster digital dikeluarkan oleh JPJ

KUCHING: Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, jangan risau kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi pengecualian memperbaharuinya termasuk Lesen Memandu Kompeten (CDL) sehingga 31 Mac ini.

JPJ melalui kenyataan akhbarnya memberitahu, pengecualian tersebut berkuatkuasa sejak 1 Februari atas sebab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Menteri Pengangkutan Malaysia memberi pengecualian untuk memperbaharui LKM dan CDL dari 1 Februari hingga 31 Mac.


“Oleh itu, cetakan disk LKM adalah dikecualikan tetapi pemilik kenderaan perlu memastikan bahawa kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah sepanjang tempoh pengecualian ini,” katanya.

Pemegang LKM persendirian dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam masa 30 hari selepas tempoh pengecualian.

“Urusan memperbaharui LKM dan CDL boleh dibuat di mana-mana cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM.

“Bagaimanapun, bagi mengelak daripada berlakunya kebanjiran pelanggan sepanjang tempoh PKP ini, para pelanggan dinasihati agar melakukan urusan berkaitan JPJ secara dalam talian,” katanya. — DayakDaily