Pengecualian Polisi Kabotaj tidak membantu menurunkan harga barang di Sarawak

Tan Sri Dr James Masing
Advertisement

KUCHING, Nov 13: Pengecualian Polisi Kabotaj terhadap pelabuhan di Sarawak yang bermula sejak Jun 1, 2017 didapati sehingga kini tidak membantu menurunkan harga barang di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri James Jemut Masing menjelaskan Kementerian Pengangkutan Malaysia yang mengumumkan pengecualian polisi itu bagi Sarawak, Sabah dan Labuan bagi membolehkan kapal asing membawa kargo dari mana-mana pelabuhan ke pelabuhan di Sarawak, Sabah dan Labuan serta bersaing dengan kapal tempatan.

“Polisi Kabotaj terbabit dipersalahkan atas kos harga barang yang lebih tinggi di Sarawak, Sabah dan Labuan dan ianya (pengecualian) disasarkan bagi menurunkan harga barang di kedua-dua negeri dan Labuan; yang malangnya kekal tidak berubah iaitu harga (barangan) tidak menurun,” katanya ketika ucapan pengulungan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di DUN, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Advertisement

Masing berkata kini selepas setahun pengecualiannya, Kementerian Pengangkutan Malaysia masih belum mengeluarkan penemuan mereka terhadap kesan pengecualian terbabit tetapi ini mungkin kerana ketika ini masih terlalu awal bagi membuat sebarang kesimpulan lagi terhadap kesan pengecualian itu.

“Kami akan menunggu bagi penemuan Kementerian Pengangkutan terbabit dikeluarkan sebelum meletakkan saranan kami,” katanya, sambil menambah ini khususnya bagi melindungi industri perkapalan negeri ini yang mungkin terjejas dengan pengecualian Polisi Kabotaj itu.

Selain itu, Masing mendedahkan dari Januari sehingga September 2018, kargo yang dikendalikan Lembaga Pelabuhan Kuching telah meningkat sebanyak 7.4 peratus dari 6,454,916 tan kepada 6,932,579 tan.

Manakala kargo dikendalikan Lembaga Pelabuhan Rajang pula meningkat 89 peratus dari 1,661,799 tan pada 2017 kepada 3,142,818 tan.

“Bagaimanapun kargo dikendalikan Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis menurun dari 2,968,238 tan kepada 2,477,111 tan, penurunan 16.5 peratus yang disebabkan menurunnya aktiviti berkaitan perkayuan,” katanya.

Sementara itu, berikutan saiz kapal sudah berubah dan perlu ditingkatkat keselamatan laluan kemasukan ke pelabuhan negeri ini, pihaknya menyarankan Sistem Trafik Kapal yang secara digital digunakan bagi menguruskan aliran trafik marin di negeri ini bagi mengelakkan kemalangan.

“Anggaran kos keseluruhan termasuk penyiasatan, survei, rekaan, bekalan, pemasangan, pengujian dan pengunaan Sistem Trafik Kapal bagi pelabuhan Kuching, Rajang, Miri, dan Tanjung Manis di Sarawak ialah RM123 juta,” katanya dengan kementeriannya sedang menyediakan kertas kerja berkaitan perkara itu bagi diserahkan kepada kerajaan negeri bagi dipertimbangkan. — DayakDaily

Advertisement