Pemilihan PKR Cabang Lubok Antu kecoh dan tidak adil, kata calon naib ketua cabang

Gannie Sinau

KUCHING, Nov 13: Kekecohan berlaku semasa pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lubok Antu yang berlangsung November 10 akibat pertengkaran penyokong kedua-dua calon yang merebut jawatan ketua cabang.

Insiden di pusat mengundi di SK Lubok Antu menyaksikan kedua-dua pihak saling tolak-menolak sehinggakan ada yang mengambil kerusi untuk memukul lawan.

Jawatan ketua cabang PKR Lubok Antu menjadi rebutan Jugah Muyang dan Nicholas Bawin Anggat. Jugah adalah Ahli Parlimen Lubok Antu.


Menurut calon naib ketua cabang PKR Lubok Antu, Gannie Sinau, pertengkaran tercetus setelah didapati ada pengundi tidak berdaftar ataupun bukan ahli PKR datang mengundi di pusat tersebut.

Apabila ditegur, mereka menjadi agresif.

“Setelah menyedari mereka memasuki pusat dan mengundi tanpa keahlian yang sah, saya pun menegur JawatanKuasa Pemilihan Pusat.

“Ternyata teguran saya itu membangkitkan kemarahan mereka dan tercetus kekecohan,” kata Gannie.

Sehubungan dengan itu, beliau menganggap pemilihan yang dijalankan adalah tidak adil selain banyak unsur penipuan.

Beliau yang berada dalam kem Jugah turut membuat laporan polis di Balai Polis Lubok Antu pada hari kejadian.

Selain daripada itu, Gannie yang tewas untuk jawatan naib ketua cabang turut mengajukan surat bantahan terhadap keputusan pemilihan.

Antara butiran surat yang diajukan kepada Ibu Pejabat PKR Pusat bertarikh November 13 mengatakan semasa pemilihan banyak berlaku penipuan dari segi sistem e-voting yang lebih memihak kepada pihak Bawin.

Menurut Gannie pengundi sah yang ada dalam sistem e-voting hanya 222 orang dimana jumlah yang datang mengundi seramai 305 orang. Beliau memohon keputusan pemilihan dibatalkan dan pengundian dibuat semula.

Pada pemilihan tersebut, Bawin mengalahkan Jugah untuk jawatan ketua cabang, manakala Maling Luna yang dikatakan dari kem Bawin menang jawatan timbalan ketua.

Agang Timang yang dikatakan dari kem Bawin menewaskan Gannie untuk jawatan naib ketua cabang. — DayakDaily