Pengawal keselamatan antara tiga pemuda ditangkap kerana disyaki terlibat dadah

Dadah yang dipercayai milik dua suspek yang ditahan.

KUCHING, 18 Mei: Tiga pemuda ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Telaga Air, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ketiga-tiga suspek berusia 20, 22 serta 29 tahun, iaitu seorang daripadanya pengawal keselamatan dan dua lagi nelayan.

Katanya, mereka ditahan di stor belakang sebuah rumah iaitu sekitar jam 2.35 petang.


“Semasa serbuan, anggota operasi melihat salah seorang daripada suspek mencampak sesuatu di bahagian belakang rumah tempat mereka berada.

“Hasil pemeriksaan menjumpai dadah yang keseluruhannya dianggaran seberat 13.81 gram dan bernilai sekitar RM1,381,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya juga, dua daripada suspek mengaku dadah berkenaan adalah milik mereka.

“Usaha mendapatkan maklumat lanjut daripada suspek dan mengesan punca bekalan dadah akan diusahakan.

“Manakala ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek juga positif amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — DayakDaily