Pengarah Kastam Sarawak sahkan rampasan kereta mewah dengan nombor pendaftaran Brunei

Dari dua kiri: Sharifah Halimah dan Mohamad Asfia di Majlis Ramah Tamah Gawai Raya JDKM Sarawak 2019.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 14: Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha mengesahkan rampasan kereta jenama mewah dengan nombor pendaftaran negara Brunei Darussalam.

Ditemui pemberita di Majlis Ramah Tamah Gawai Raya JDKM Sarawak 2019 hari ini, Sharifah Halimah enggan mengulas lanjut berhubung rampasan tersebut.


Beliau berkata jabatan tersebut akan mengeluarkan kenyataan berhubung rampasan itu kepada media pada minggu hadapan.

“Ya, memang ada rampasan dan kita akan keluarkan kenyataan berhubung rampasan ini pada minggu hadapan,” katanya menjawab ringkas soalan pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Petra Jaya.

Pada Jumaat lepas, sumber dari JDKM Sarawak mengesahkan lebih 10 buah kereta pelbagai jenama mewah dengan nombor pendaftaran Negara Brunei Darussalam telah dirampas.

Namun, jumlah rampasan dan nilai duti cukai tidak dinyatakan.

Sementara itu, laman Facebook MySarawak (My Sarawak Insight) mendakwa rampasan dibuat di premis beberapa ahli perniagaan tempatan dan orang kenamaan di sekitar Bahagian Kuching.

Dalam operasi tersebut, pelbagai kereta jenama mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Mercedes-Benz dirampas jabatan dengan anggaran duti cukai mencecah jutaan ringgit.

Majlis Ramah Tamah Gawai Raya JDKM Sarawak 2019 dihadiri tetamu kehormat iaitu Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. — DayakDaily