Pengarah Bomba Sarawak: Miri mencatat panggilan kebakaran tertinggi

Khirudin Drahman

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 17: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak (JBPMNS) telah merekodkan sejumlah 2,794 panggilan Kecemasan dalam tempoh Januari 1, 2019 sehingga April 16, 2019.

Daripada jumlah itu menurut Pengarah JBPMNS, PKPjB Khirudin Drahman, 1,004 panggilan atau 36 peratus adalah melibatkan panggilan kes kebakaran.


Sejumlah 1,697 (61 peratus) panggilan adalah panggilan menyelamat dan 88 panggilan atau 3 peratus merupakan panggilan tugas-tugas khas.

Tambah beliau, berdasarkan statistik panggilan kebakaran yang diterima, Bahagian Miri merekodkan jumlah panggilan tertinggi iaitu 412 kes diikuti oleh Bahagian Kuching (164 kes) dan Bahagian Sibu (154 Kes).

“Jumlah Kerugian yang direkodkan adalah RM11,216,411.51 dan jumlah harta yang diselamatkan adalah berjumlah RM97,088,717.89,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dari segi jenis panggilan kebakaran yang terima tambah Khirudin, kebakaran belukar atau hutan mencatatkan jumlah tertinggi diikuti dengan panggilan Kebakaran yang melibatkan rumah kediaman.

Menurut beliau lagi, kebanyakkan punca kebakaran yang melibatkan kebakaran struktur adalah berpunca dari kebakaran peralatan elektrik dan kecuaian.

“Jumlah kes kematian akibat kebakaran bagi tempoh terlibat adalah 3 orang mangsa, manakala jumlah mangsa yang cedera akibat kebakaran adalah 14 orang,” katanya.

Mengulas isu yang sama iaitu bagi kes kebakaran rumah panjang, Khirudin memaklumkan yang JBPMNS tahun ini merekodkan sebanyak 3 kes kebakaran rumah panjang.

Ketiga-tiga kes melibatkan Kebakaran 65 buah pintu rumah dan jumlah mangsa yang terjejas adalah 637 orang. — DayakDaily