Penganjuran Perarakan Gawai Dayak bukan bermotifkan politik, kata Dr Rundi

Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom
Advertisement

KUCHING, Jun 21: Pengerusi Pengelola Jawantankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2018, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menyelar kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa penganjuran Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ di Tebingan Kuching esok adalah bermotifkan politik.

Tegas Menteri Utiliti Sarawak itu, terdapat pihak yang sengaja membangkitkan kemarahan rakyat dengan mendakwa bahawa penganjuran perarakan berkenaan adalah untuk kepentingan politik semata-mata.

“Sebenarnya, penganjuran Perarakan Gawai Dayak atau ‘Niti Daun’ ini merupakan majlis sambutan rasmi oleh kerajaan negeri Sarawak dengan jalinan kerjasama tiga komuniti Dayak iaitu Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Advertisement

“Sambutan ini di peringkat negeri Sarawak mula diadakan pada tahun 1987 di mana tiga komuniti utama ini secara bergilir-gilir menjadi Tuai Gawai perayaan.

“Jadi dakwaan mengatakan penganjuran perarakan ini adalah bermotifkan politik adalah tidak tepat ini kerana kita menjemput semua masyarakat tanpa mengira ideologi politik mereka,” katanya hari ini.

Dr Rundi menambah, Bazar Gawai dan pameran juga akan diadakan di Penview Convention Centre pada Jun 23 ini (Sabtu) bermula dari 9 pagi hingga 10 malam.

Katanya, Bazar Gawai itu dilaksanakan bagi membolehkan komuniti Dayak mempamer dan menjual produk-produk kraftangan mereka serta berkongsi keunikan makanan tradisi komuniti Dayak dengan para pengunjung bazaar.

“Bazar Gawai ini jug ada menjual pelbagai jenis makanan, termasuk masakan tradisi pelbagai etnik Dayak, barangan kraf dan cenderamata serta pakaian termasuk busana tradisi masyarakat Dayak.

“Selain gerai menjual makanan, beberapa buah gerai untuk pameran juga turut dibuka kepada orang ramai sepanjang program bazar Gawai tersebut,” katanya.

Sambil menambah, dengan adanya Bazar Gawai itu, ianya sudah pasti dapat melonjakkan peluang ekonomi khususnya kepada para usahawan Dayak.

“Ini merupakan satu acara yang amat signifikan bagi mengumpulkan orang ramai terutama kaum Dayak dengan berkonsepkan bazar di samping melibatkan pelbagai lapisan usia termasuk generasi muda dari pelbagai suku kaum Dayak,” katanya. — DayakDaily

Advertisement