Penganjuran majlis sosial, perkumpulan melebihi 5 orang tidak dibenarkan sepanjang PKPB mulai esok hingga 7 Jun

A file photo of a wedding celebration. Photo credit: Pixabay

KUCHING, 17 Mei: Penganjuran majlis sosial kekal tidak dibenarkan dalam kemas kini prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia merangkumi kenduri-kendara, majlis pernikahan, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil.

Turut tidak dibenarkan ialah sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial termasuk aktiviti hiburan seperti kelab malam atau pub, karaoke serta panggung wayang.


Individu-individu atau kumpulan tidak dibenarkan berkumpul lebih dari lima orang di kawasan awam sepanjang tempoh PKPB ini berkuatkuasa.

Pelaksanaan PKPB mulai esok hingga 7 Jun ini turut tidak membenarkan perkhidmatan urut, spa dan refleksologi.

Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan adalah dilarang dalam tempoh tersebut.

Di dalam tempoh ini, aktiviti yang dibenarkan ialah yang melibatkan rantaian aktiviti ekonomi dan industri, melaksanakan tugas rasmi kerajaan dan mendapatkan rawatan kesihatan, urusan kecemasan serta kematian. — DayakDaily