Penganjuran KOKUS 2019 keputusan tepat—Fatimah

Datuk Seri Fatimah Abdullah

KUCHING, 30 Dis: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah menyifatkan penganjuran Karnival Orang Kurang Upaya Sarawak(KOKUS)2019 pada bulan November lepas adalah satu keputusan yang tepat.

Katanya, ia memberi peluang kepada OKU untuk mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti sihat, konstruktif dan produktif.

“Ia memberi saya kepuasan untuk melihat wajah-wajah ceria para peserta pada KOKUS 2019.

“Karnival merupakan peluang penting kepada OKU, selain mencuba untuk keluar dari zon selesa mereka,” katanya pada majlis Sambutan Krismas 2019 Persatuan Orang Pekak Sarawak di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Teks ucapan Fatimah dibaca Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak Salina Bujang yang mewakili beliau.


KOKUS 2019 diadakan di Komplek Sukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bermula 23 hingga 26 November 2019.

Karnival menggabungkan tiga elemen iaitu sukan, budaya dan abilympics.

Dalam pada itu, Fatimah menegaskan yang kementeriannya akan sentiasa prihatin dan memberi sokongan kepada pertubuhan yang membantu golongan OKU.

Menurut beliau, pertubuhan atau organisasi bukan sahaja menjadi tonggak kekuatan kepada OKU, tetapi juga kepada keluarga mereka.

“Kami berharap lebih ramai orang terutama generasi muda dapat memberi bantuan kepada mereka yang mempunyai keperluan khas ini,”ujar beliau. —DayakDaily.