KUCHING, 1 Mac: Misteri kehidupan seorang lelaki yang mewah meskipun menganggur terjawab apabila dia ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan mengedar dadah.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata suspek berusia 27 tahun terbabit ditangkap di kaki lima kedai Batu Kitang Cafe, Lee Ling Height, Jalan Penrissen Batu 6 1/2, di sini sekitar jam 1.30 petang pada 26 Februari lalu.
Katanya, suspek ditangkap apabila pemeriksaan ke atas kotak yang dipegangnya didapati mengandungi 6,098 gram dadah jenis syabu.
“Suspek kemudian membawa pasukan operasi ke sebuah premis di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce untuk mengambil satu kotak dan hasil pemeriksaan menemui enam bungkusan mengandungi ketulan kristal dadah jenis syabu seberat 6,098 gram.
“Suspek kemudian sekitar jam 3 petang membawa pasukan serbuan ke sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang dan hasil pemeriksaan di bilik tidur suspek telah menjumpai satu kotak.
“Pemeriksaan lanjut ke dalam kotak tersebut telab menemui 13 bungkusan mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis ketamin seberat 13.376 gram dan satu bekas tin mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 664 gram,” katanya dalam satu sidang media di Pusat Media, IPK Sarawak hari ini.
Difahamkan, dadah-dadah tersebut diperolehi daripada semenanjung Malaysia yang dihantar ke sini menggunakan perkhidmatan kurier.
Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas daripada suspek ialah 12,258 gram syabu dan 13,376 gram ketamin.
“Jumlah dadah yang dirampas ialah syabu RM462,888 dan ketamin RM735,680, dengan keseluruhannya bernilai RM1,198,568.
“Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah kereta Toyota Wish dan motosikal Yamaha Y15zr,” jelasnya.
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan juga negatif dadah ujian saringan air kencing,” katanya.
Mancha selain itu turut memberitahu rampasan dadah tersebut merupakan yang terbesar sejak beberapa tahun lepas.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk menyekat dan melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah,” tegasnya. — DayakDaily