Penganggur ditahan dengan syabu bernilai RM13,100

Dadah jenis methamphetamine yang dirampas daripada suspek.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Nov: Seorang penganggur ditahan bersama dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 131 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Tanjung Batu Kampung Padang Kerbau hari ini.

Pemuda berusia 37 tahun itu dipercayai dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar bandaraya Miri.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, serbuan pada jam 1.30 petang tadi itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Miri hasil daripada maklumat dan risikan.

Dalam serbuan itu, polis menemui dan merampas sebuah beg kertas berwarna oren yang didalamnya mengandungi 12 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM13,100, kata Hakemal dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil aaringan awal ujian air kencik suspek, didapati positif untuk dadah jenis methamphetamine.

Oleh itu, suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut pada pagi esok. — DayakDaily