Pengambilan guru khas: MP Igan minta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan beri penjelasan terperinci

Ahmad semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat. Foto: TVS
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 22 Okt: Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) beri penjelasan secara terperinci kepada Kerajaan Sarawak berhubung isu Pengambilan Guru Khas Sarawak.

Menurut laporan TVS, Ahmad berkata, ia penting agar polemik yang menganggu emosi banyak pihak itu dapat diredakan.

Advertisement

Isu timbul apabila Pengambilan Guru Khas Sarawak kepada anak Sarawak turut dibuka kepada pemohon dari seluruh negara.

“Adakah benar pihak SPP telah memungkiri janji dan kenapa ini terjadi? Saya juga ingin bertanya, berapakah jumlah keseluruhan calon guru yang memohon melalui inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini?

“Berapa orangkah calon dari Sarawak termasuk dari negeri lain? Berapa orangkah calon yang telah di senarai pendek untuk di temuduga dan berapakah jumlah guru yang akan di ambil untuk mengisi kekosongan guru di Sarawak?” soalnya.

Beliau mengutarakan persoalan itu pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat semalam.

Ahmad juga ingin tahu berapa jumlah calon guru asal Sarawak yang berjaya dalam temuduga dan apakah kriteria-kriteria pemilihan serta bilakah penempatan guru baharu akan berkuatkuasa.

“Setelah inisiatif Pengambilan Guru Khas Sarawak ini selesai berapakah lagi jumlah kekosongan guru di Sarawak samada Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah?” tanya Ahmad.

Pengisian jawatan bagi Inisiatif Pengambilan Khas Guru Sarawak yang telah dibuka pada 1 hingga 23 Ogos telah terbuka kepada semua graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan termasuk graduan Ijazah Sarjana Muda bukan Pendidikan. — DayakDaily

Advertisement