Penerbangan terus Jakarta ke Kuching bawa faedah ekonomi — Lee

Dato Sri Lee Kim Shin

KUCHING, 7 Mei: Penerbangan terus Jakarta ke Kuching mulia 15 Jun ini pastinya akan membawa faedah sosioekonomi yang ketara kepada Sarawak terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelancongan, kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Lee berkata, ini selaras dengan agenda Kerajaan Sarawak untuk membawa lebih ramai pelancong dari Indonesia, baik melalui udara dan darat.

“Penerbangan terus antara Jakarta dan Kuching akan memudahkan ahli-ahli perniagaan dan para pelancong Indonesia untuk datang ke Sarawak, begitu juga sebaliknya.


“Hubungan langsung Jakarta–Kuching akan meningkatkan peranan Kuching sebagai hab yang menghubungkan Sarawak dan Sabah ke pulau Jawa di mana Jakarta merupakan pintu masuk utama mereka.

“Dengan Kuching sebagai hab dan disambungkan ke destinasi antarabangsa tambahan seperti Jakarta, ia akan memacu lebih banyak sambungan dari lapangan terbang utama lain di Sarawak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Tambah Lee, kesalinghubungan yang lebih baik antara Jakarta dan Kuching boleh membawa kepada peningkatan dalam perdagangan, pelancongan dan pelaburan antara Indonesia dan Sarawak.

“Dengan sambungan terus ke Jakarta, yang merupakan pintu masuk utama ke Indonesia, Sarawak boleh memupuk hubungan budaya yang lebih erat dan pertukaran dengan Indonesia.

“Ini boleh mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat dan membantu meningkatkan kerjasama serantau,” ujarnya.

Jelasnya lagi, terdapat keperluan mendesak untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan penerbangan di Sarawak, termasuk kemudahan lapangan terbang dan sistem kawalan trafik udara.

“Ini akan meningkatkan pengalaman perjalanan keseluruhan untuk penumpang dan menyokong pertumbuhan industri penerbangan di rantau ini,” katanya lagi.

Ujar Lee lagi, pengumuman itu tepat pada masanya kerana Kementerian telah berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk AirAsia untuk memperluaskan sambungan udara Sarawak ke bandar-bandar utama di seluruh rantau ini termasuk Indonesia, China, Thailand, Filipina, Hong Kong dan Australia.

“Pengenalan laluan baharu antara Jakarta dan Kuching akan mewujudkan persaingan sihat di kalangan syarikat penerbangan yang beroperasi di rantau ini, yang mungkin menghasilkan perkhidmatan yang lebih cekap pada kos yang lebih berpatutan kepada penumpang,” jelasnya. — DayakDaily