Penduduk rumah panjang berhasrat mengusahakan aktiviti pelancongan melihat buaya

Mong menyampaikan sijil kepada peserta.
Advertisement

KUCHING, Dis 21: Komuniti di sekitar Taman Negara Gunung Lesong di Lingga, Sri Aman, mempunyai rancangan untuk mengusahakan aktiviti melihat buaya di Batang Lupar, Batang Kelauh dan Batang Strap sebagai salah satu produk pelancongan eko di kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, berkata rangkaian sungai terbabit mempunyai kepadatan populasi buaya amat tinggi dan boleh dieksploitasi komuniti terbabit sebagai produk pelancongan.

“Batang Lupar, Batang Kelauh dan Batang Strap ketika ini agak amat banyak buayanya, jadi ini boleh diekspolitasi sebagai produk pelancongan eko ke taman negara itu.

Advertisement

“Setahu saya, setakat ini belum ada lagi kawasan lain di negeri ini menawarkan produk pelancongan eko membawa pelancong melihat buaya dan saya fikir ini akan menjadi yang pertama,” katanya selepas merasmikan Kursus Program Pelancongan Eko Berasas Komuniti Taman Negara Gunung Lesong 2018 anjuran Jabatan Hutan Sarawak, di sini, semalam.

Kelihatan antara peserta yang menyertai kursus.
Peserta-peserta dibawa melawat Taman Negara Bako.

Seramai 90 penduduk dari 31 rumah panjang dan kampung berhampiran sekitar Taman Negara Gunung Lesong menyertai kursus dua hari terbabit yang mengajar mereka tentang jurusan pemandu pelancong, pengurusan homestay dan pembuatan kraftangan.

Peserta juga dibawa melawat Taman Negara Bako.

Mong berkata komuniti yang menetap berhampiran sekitar Taman Negara Gunung Lesong akan menyediakan bot dan segala perkakas bagi membawa pelancong melihat buaya di tiga sungai itu.

Gunung Lesong di Lingga, Sri Aman.

“Pelancong ke Taman Gunung Lesong yang mahu melihat buaya di tiga sungai itu boleh menaiki bot samada dari pekan Lingga ataupun dari pekan Pantu, yang akan mengambil masa sekitar dua jam perjalanan,” katanya.

Disamping melihat buaya, komuniti terbabit juga bercadang menawarkan produk pelancongan tambahan seperti memancing ikan dan melihat spesis orang utan dan monyet langur merah serta haiwan liar lain di taman negara itu.

“Selain itu komuniti terbabit juga bercadang menawarkan produk pelancongan meneroka sekitar Gunung Lesong dengan mengunakan basikal lasak.

“Ini juga membolehkan pelancong meneroka gunung terbabit yang juga ada kaitan sejarah dan lagenda kaum Iban seperti Telaga Kumang dan Kelang Sabung,” katanya.

Mong berkata ketika ini kesemua pakej pelancong terbabit masih dalam peringkat perancangan.

Beliau bagaimanapun, mendedahkan kesemua produk pelancongan eko terbabit bakal dijadikan sebagai tarikan tambahan kepada acara Pesta Benak di pekan Sri Aman yang diadakan setiap tahun.

Sementara itu, pengerusi Pelancongan Eko Berasas Komuniti Taman Negara Gunung Lesong, Victor Luna Amin, berkata pihaknya menyeru kerajaan negeri membantu komuniti terbabit mengusahakan pelancongan eko di taman negara itu.

“Komuniti dalam mesyuarat tadi, sebulat suara menyeru supaya jalan luar bandar di kawasan gunung terbabit ditambahbaik atau sekuran-kurangnya diberikan batu halus supaya tidak merosak kenderaan.

“Di samping itu, pendudul boleh menjalan produk pelancongan eko meneroka gunung menggunakan basikal lasak yang disewa,” tambahnya.

Selain mengunakan jalan darat, Taman Negara Gunung Lesong juga boleh dihubungi pelancong mengunakan sungai. Berikutan itu, pihaknya meminta kerajaan negeri membina terminal atau jeti yang baik bagi pelancong mengunakan bot ke taman itu seperti yang ada di Taman Negara Bako.

“Terminal dan jeti perlu disediakan di Enkeranji, yang banyak perahu dan bot, supaya boleh digunakan sebagai tempat menawarkan produk pelancongan eko melihat buaya,” katanya.

Victor berkata pihaknya juga mahu kerajaan menyediakan menara telekomunikasi di gunung terbabit dan memperbesarkan kawasan taman negara melingkupi kawasan Langgir, Menuang, dan Lalau kerana kawasan terbabit adalah habitat orang utan dan banyak spesis burung. — DayakDaily

Advertisement