KOTA SAMARAHAN, Dis 21: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memberi peringatan kepada semua pembayar cukai pintu di Kota Samarahan supaya membayar cukai terbabit bagi tahun ini berikutan masih ramai yang belum membayarnya walaupun sudah kerap diberikan notis.
Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos berkata demikian dan mendedahkan pihaknya kecewa serta semakin hilang sabar dengan karenah pembayar cukai terbabit dan akan mula bertindak lebih tegas terhadap mereka supaya bayaran cukai itu tidak terus tertangguh sehingga tahun depan.
“Kami mahu semua pembayar cukai pintu samada pemilik rumah, kedai atau pejabat supaya membayar cukai itu tahun ini kepada MPKS sekiranya mereka sudah menerima notisnya dan jangan terus tidak memperdulikan notis terbabit kerana sekarang kami akan menjadi lebih tegas,”katanya ketika mengadakan sidang media MPKS, di Perpustakaan MPKS, di sini, semalam.
Peter berkata MPKS bukan sahaja akan menghebohkan perkara itu malahan akan bertindak mengejar pembayar cukai pintu yang masih berterusan tidak mengendahkan notis itu bagi memastikan mereka membayarnya sebelum berakhir tahun ini dan perlu dilakukan supaya pihak berkuasa tempatan terbabit terus mempunyai sumber kewangan bagi perbelanjaan operasinya.
“MPKS seperti kebanyakan pihak berkuasa tempatan lain di negeri ini bergantung sehingga 90 peratus kepada kutipan cukai pintu bagi perbelanjaan operasinya, jadi kalau orang ramai tidak membayar cukai terbabit, kami tidak akan mempunyai sumber kewangan bagi menjalankan perkhidmatan mengutip sampah, membaiki longkang, menurap jalan berlubang dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan semua pembayar cukai pintu di Kota Samarahan supaya membayar cukai terbabit bagi tahun ini sebelum Dis 29 tahun ini dengan pembayaran itu boleh dibuat mereka di Kaunter One-Stop MPKS di pejabat MPKS atau melalui Paybills Malaysia.
MPKS tidak akan memberikan pengurangan bayaran cukai terbabit seperti diarahkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan sebarang permintaan sedemikian tidak akan dilayan dan mendedahkan kutipan cukai pintu itu sehingga Nov 30 lepas adalah sebanyak 71.10 peratus.
Disamping itu,bagi menambahbaik perkhidmatan MPKS, Peter mendedahkan pihaknya sudah memwujudkan aplikasi WhatsApp di
talian 013-8561116 yang khusus bagi memudahkan penduduk di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan terbabit membuat sebarang aduan dengan lebih pantas mengunakan telefon pintar.
“Ini akan seterusnya membolehkan MPKS bertindak lebih cepat sekiranya ada menerima aduan dari orang ramai dengan menghantar kakitangan memeriksa lokasi aduan terbabit dan sekiranya aduan disahkan betul, kami akan memanggil pihak kontraktor MPKS supaya bertindak,” katanya.
Ini terutamanya aduan yang berkaitan longkang tersumbat, lampu jalan rosak, jalan berlubang atau sampah tidak dikutip mengikut jadual dengan orang ramai boleh mengadukan melalui aplikasi terbabit 24 jam.
Setiap aduan dihantar melalui aplikasi itu hendaklah lengkap dengan nama penuh, alamat, lokasi dan gambar aduan dengan aduan juga hendaklah bukan berbentuk peribadi, berbaur perkauman atau politik. — DayakDaily