Penduduk Kampung Muara Mongkos gempar dengan penemuan mayat bayi perempuan

Pasukan polis melakukan siasatan di tempat penemuan mayat bayi.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Jan 9: Penduduk Kampung Muara Mongkos di sini gempar dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan berhampiran Masjid Muara Mongkos di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, mayat bayi malang itu ditemui kira-kira pukul 8 pagi.


Jelasnya, semasa ditemui oleh penduduk kampung, bayi tersebut masih dalam keadaan bertali pusat.

“Lebih menyayatkan hati, terdapat kesan gigitan binatang pada bahagian tangan dan pinggang bayi itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Aswandy menambah, pasukan forensik telah dipanggil untuk membantu menjalankan siasatan kes itu.

Katanya, mayat bayi itu telah dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Bedah siasat akan dilakukan dalam masa terdekat untuk mengenalpasti punca kematian.

“Polis juga kini sedang mengesan suspek yang bertindak membuang bayi malang tersebut,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit. — DayakDaily