Penduduk Kampung Merakai di Serian telah nikmati bekalan air berterusan

Sebahagian daripada kerja pemasangan paip ke Kampung Merakai yang telah pun siap.

KUCHING, 27 Julai: Projek pembinaan saluran paip ke Kampung Merakai di Serian yang telah siap dilaksanakan pada 15 Disember 2019 memberi impak besar kepada penduduk-penduduk di kampung tersebut.

Kementerian Utiliti menerusi satu kenyataan hari ini mendedahkan, ia juga dinikmati 55 orang kakitangan dan pelajar di SK Merakai.

“Kini, penduduk-penduduk di Kampung Merakai telah menikmati bekalan air yang lebih baik dari keadaan sebelumnya.


“Ini adalah atas hasil usaha berterusan dan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan JBALB Bahagian Serian,” menurut kenyataan itu.

Kampung Merakai yang terletak di seberang Sungai Senyabah Gedong, Serian, mempunyai populasi penduduk seramai 445 orang.

Sebelum projek pembinaan saluran paip ini dilaksanakan, penduduk di kampung ini hanya mendapatkan bekalan air melalui sumber air hujan.

Kenyataan itu menambah, projek pembinaan saluran paip ke Kampung Merakai Serian telah mendapat perhatian dan kelulusan oleh kerajaan Sarawak dengan kos sekitar RM5 juta.

“Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak ini merangkumi pembinaan saluran paip jenis 250 mm diameter ‘ductile iron’ dan 225 mm diameter HDPE dari Simpang Ladang Gedong ke Kampung Merakai dan pemasangan paip komunikasi,” katanya. — DayakDaily