Penduduk Julau kecewa tiada balai bomba menyelamatkan rumah panjang terbakar — Sng

Larry Sng

KUCHING, 18 Ogos: Penduduk Julau amat kecewa kerana tiada balai bomba di Julau yang mungkin boleh menyelamatkan rumah panjang Chat Bilat di kawasan mereka yang terbakar semalam, menurut Ahli Parlimen Julau Larry Sng.

“Saya berdiri teguh bersama rakyat Julau yang amat kecewa kerana tiada balai bomba di Julau manakala balai bomba terdekat terletak di Bintangor yang mengambil masa 45 minit untuk sampai ke daerah Julau,” Sng tegas dalam satu kenyataan media yang disiarkan melalui laman Facebooknya malam tadi.

Sng yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berpendapat kebakaran seperti ini mungkin boleh dielakkan atau dikawal jika ada pasukan penyelamat dan balai bomba berdekatan dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa 20 pintu rumah panjang Chat Bilat.


Sehubungan itu, beliau juga berharap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin akan menunaikan janji pada bulan Jun 2019, iaitu untuk 108 balai bomba katagori E dibangunkan di kawasan pendalaman Sarawak.

“Saya meminta KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), bertindak pantas menyediakan kemudahan asas di kawasan pedalaman dengan segera menjalankan tugas dengan amanah,” gesa Sng.

Tambah beliau, setiap nyawa amat berharga, termasuk penduduk kawasan pendalaman Sarawak dan semua mesti mempertahankan keselamatan pendudukan kawasan pendalaman dan rumah panjang negeri Sarawak, terutamanya anak-anak dan warga emas. — DayakDaily