Penduduk gempar dengan insiden dua motosikal terbakar

Kelihatan api marak membakar dua buah motosikal.

BINTULU, Okt 10: Penduduk di sekitar pusat bandar ini gempar dengan insiden dua buah motosikal yang musnah terbakar di kawasan Bangunan CIMB Bank, Bintulu Central di sini awal hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.35 pagi itu telah mengakibatkan dua buah motosikal jenis Yamah LC 135 dan SYM 115 terbakar 100 peratus.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihak menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 pagi.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kedua-dua motosikal berkenaan.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengawal kebakaran motosikal berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada pemilik motosikal itu di kawasan berkenaan.

Katanya, buat masa ini pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran tersebut

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 3.53 pagi,” ujarnya. — DayakDaily