Lagi enam mangsa Macau Scam libatkan kerugian sebanyak RM125,734.88

Royal Malaysia Police logo

– oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 10: Meskipun banyak pendedahan mengenai penipuan sindiket Macau Scam dalam media massa dan media sosial, namun masih ramai yang terus menjadi mangsa dengan kes terbaharu melibatkan enam individu setakat semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, SUPT Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian tersebut dilaporkan antara Oktober 2 hingga 9 lepas.


Menurutnya, nilai keseluruhan kerugian yang direkodkan melibatkan enam kes tersebut ialah sebanyak RM125,734.88.

“Setakat semalam, polis telah menerima 11 kes penipuan dengan 10 kes membabitkan ‘Macau Scam’ dan satu kes ‘Parcel Scam’.

“Bagaimanapun, enam daripada 11 kes itu dilaporkan melibatkan kerugian wang tunai, manakala lima individu lagi berjaya mengelak daripada ditipu,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, menerusi laporan diterima, kes tersebut dilaporkan berlaku di Sarikei, Bintulu, Kapit, Kuching (2 kes) dan Kota Samarahan.

Jelasnya, seorang guru wanita di Sarikei merekodkan jumlah kerugian terbesar iaitu sebanyak RM52,400.

“Antara mangsa lain yang ditipu ialah seorang jurutera, penolong pegawai kesihatan, surirumah, pengurus syarikat dan pelajar.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. — DayakDaily