Penduduk gempar dengan insiden dua bot ekspres terbakar

Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Nov 14: Penduduk di sekitar terminal bot ekspres di Jalan Khoo Peng Long di sini gempar dengan kejadian dua bot ekspres terbakar, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 6.38 pagi, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.40 pagi.

Katanya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan, kebakaran melibatkan dua buah bot ekspres telah terbakar.

“Kedua-dua bot penumpang itu tanpa penumpang di dalam semasa kejadian tersebut berlaku,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, kedua-dua bot ekspres juga telah ditunda dibawa ke seberang sungai di kawasan yang selamat.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot ekspres pertama dianggarkan musnah 100 peratus, manakala bot ekspres kedua dianggarkan musnah kira-kira 10 peratus.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement