Pendidikan awal platform terbaik lahirkan generasi baharu berintelektual tinggi

Baru tiba di Majlis Bersama Rakyat di Lubuk Kubung Kakus.

TATAU, Okt 5: Pendidikan awal kanak-kanak merupakan platform terbaik kepada pembentukan generasi baharu yang mempunyai daya ketahanan dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata penyediaan pendidikan awal juga penting untuk menghasilkan modal insan yang memiliki daya intelektual tinggi.

Menurutnya, peringkat kanak-kanak merupakan peringkat yang mudah untuk menerima pembelajaran yang baharu sekali gus memupuk tahap perkembangan minda yang cepat.

“Pendidikan awal kanak-kanak yang baik dapat membantu memaksimumkan potensi penguasaan anak-anak terhadap pelajaran mereka kelak.

“Ini kerana, sebaik mereka melangkah ke pra sekolah dan sekolah rendah, mereka semakin faham dan jelas akan tujuan menimba ilmu,” katanya semasa Majlis Bersama Rakyat di Lubuk Kubung Kakus di sini hari ini.

Baru (tengah) beramah mesra dengan penduduk kampung.

Ahli Parlimen Selangau itu menambah, anak-anak kecil merupakan khazanah sumber manusia yang cukup penting kepada pembangunan dan masa depan bangsa dan negara.

Jelasnya, ilmu yang baik akan membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu.

“Melalui pendidikan awal kanak-kanak, kemahiran sosial kanak-kanak dapat diasah dan dilatih agar mereka lebih mudah berkomunikasi sesama rakan dan juga guru.

“Hal ini penting kerana, kemahiran komunikasi kanak-kanak dapat membolehkan kita mengenal pasti personaliti mereka agar tahap perkembangan kanak-kanak dapat direkodkan,” katanya.

Dalam majlis sama, Baru Bian juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk merealisasikan impian penduduk kampung itu membangunkan sebuah Tadika yang ketika ini ditempatkan di sebuah gereja yang diberi nama Tadika Akar Baik. — DayakDaily