Pendapatan eksport perkayuan Sarawak susut 20 peratus

Awang Tengah ketika membuat ucapan pengulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini (13 Nov, 2020).
Advertisement

KUCHING, 13 Nov: Pendapatan daripada eksport hasil perkayuan Sarawak menyusut sebanyak 20 peratus kepada RM2.8 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding RM3.5 bilion untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penyusutan itu antara lain disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 selain permintaan pasaran utama Sarawak seperti Jepun, India, negara Timur Tengah, Korea dan lain-lain turut mencatat penurunan.

“Bagi tempoh yang sama, nilai eksport produk perkayuan utama iaitu papan lapis telah menurun sebanyak 17 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.8 bilion pada tahun 2019.

Advertisement

“Manakala nilai eksport produk perkayuan ke pasaran terbesar iaitu Jepun juga telah menyusut sebanyak 17 peratus kepada RM1.4 bilion berbanding RM1.7 bilion dalam tahun 2019,” katanya dalam ucapan pengulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah membenarkan industri perkayuan utama untuk terus beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi membantu  industri tersebut terus lestari dalam mengharungi pandemik Covid-19.

Kebenaran beroperasi tersebut adalah untuk memastikan pihak industri dapat memenuhi tempahan sedia ada di samping meneruskan aktiviti ekonomi yang sangat diperlukan dalam tempoh tersebut.

“Dalam usaha memperkasakan industri perkayuan dan hasil sumber perhutanan Sarawak, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan industri produk nilai tambah terutamanya perabot dan engineered wood product,” katanya.

Awang Tengah berkata, strategi pembangunan tersebut  bertujuan untuk menggalakkan dan mengoptimakan penggunaan bahan mentah daripada ladang hutan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri katanya turut mempergiatkan promosi penanaman buluh untuk membangun industri berasaskan buluh. — DayakDaily

Advertisement