Pendaki wanita Sepanyol patah kaki jatuh dari Pinnacle Mulu diterbangkan khas Unit Udara Bomba

Unit Udara Bomba membawa pendaki wanita Sepanyol yang patah kaki.
Advertisement

MULU, Ogos 15: Seorang pendaki gunung wanita warga Sepanyol yang patah kakinya ketika mendaki Pinnacle Mulu dekat sini hari ini terpaksa diterbangkan oleh Unit Udara Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Miri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Josesa Nebot Fotuny, 58, dilaporkan tergelincir dan terjatuh dari Pinnacle Mulu hingga mengakibatkan kakinya patah.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.50 petang.

Advertisement

Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa bersama 13 pendaki lain dikatakan sedang melakukan pendakian ke Pinnacle Mulu awal pagi sebelum mangsa tergelincir dan terjatuh di Kem 5.

“Mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh kira-kira pukul 1 petang semasa treking balik ke Pejabat Taman Negara Mulu di situ.

“Akibat mangsa sukar untuk bergerak, rakan pendaki itu kemudian menghubungi pasukan Unit Udara Bomba bagi mendapatkan bantuan ihsan penerbangan membawa mangsa ke Hospital Miri,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, Pasukan Unit Udara Bomba Miri kemudian membuat penerbangan dari Lapangan Terbang Miri ke lokasi kejadian untuk mengambil mangsa

“Pasukan itu tiba pukul 6.33 petang sebelum mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. — DayakDaily

Advertisement